
BANGI, 7 Januari -Pembangunan Ekonomi Islam Sedunia (WIED) menyasarkan nilai pelaburan dan peluang perdagangan melebihi RM500 juta menerusi penganjuran Persidangan Ekonomi Halal Antarabangsa (IHEC) 2026, yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 5 Februari depan.
Ketua Pegawai Eksekutif WIED, Datuk Seri Abdul Rani Osman, berkata sasaran itu bukan sahaja dijangka dicapai sepanjang persidangan, malah melibatkan aktiviti perniagaan berterusan melalui pelbagai inisiatif susulan, termasuk persidangan halal dan sesi padanan perniagaan.
Menurutnya, sasaran berkenaan turut disokong dengan penyertaan lebih 500 delegasi tempatan dan antarabangsa dari 18 negara.
“Persidangan ini bukan bersifat sekali sahaja, sebaliknya akan diteruskan secara berperingkat dengan peningkatan berterusan dalam saluran perniagaan dan peluang pelaburan.
Penganjuran persidangan halal ini mengambil pendekatan jangka panjang, dengan gambaran yang lebih besar, bagi memastikan ia dilaksanakan secara konsisten dan berupaya menyumbang kepada perdagangan serta pertumbuhan ekonomi negara,” katanya pada sidang media pengumuman IHEC 2026, di sini.
Menerusi persidangan itu, ia dijangka menghimpunkan pembuat dasar global, pengawal selia dan pemimpin industri dari rantau ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Eropah, serta pasaran halal baharu.
Antara fokus utama persidangan berkenaan ialah sektor berpotensi tinggi termasuk makanan, farmaseutikal,kosmetik, logistik, ekonomi digital, pelancongan dan kewangan Islam.
Selain itu, perkembangan utama dalam aspek peraturan, perdagangan dan pelaburan yang membentuk ekosistem halal pasca 2026 turut dibincangkan.
Sementara itu, Penaung dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur IHEC 2026, Tan Sri Dr Yusof Md Noor pula berkata, penganjuran ini juga akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal global dan rujukan nombor satu dunia halal.
Ini terutamanya dalam menonjolkan kepimpinan negara dalam integriti pensijilan, rangka kerja peraturan dan kerjasama antarabangsa.