Krisis Venezuela beri kesan terhad, kekal saranan neutral sektor minyak & gas

KUALA LUMPUR, 6 Januari – Perkembangan di Amerika Selatan susulan operasi ketenteraan Amerika Syarikat ke atas Venezuela dijangka memberi kesan langsung yang terhad terhadap asas pasaran minyak global.

Public Investment Bank Bhd berkata, unjuran itu berdasarkan sekatan menyeluruh terhadap sektor kewangan dan minyak Venezuela yang telah berkuat kuasa sejak 2017, sekali gus mengekang pelaburan serta kapasiti eksport negara itu.

“Dalam tempoh terdekat, harga minyak mungkin mengambil kira sentimen risiko geopolitik yang meningkat, khususnya melibatkan negara yang dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Venezuela seperti Rusia dan China.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan kesan ini bersifat sementara, dengan tumpuan pasaran berkemungkinan kembali kepada dinamik teras penawaran dan permintaan, di mana impaknya kekal kecil,” jelas
bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya.

Tambahnya, Venezuela memiliki anggaran 303 bilion tong rizab minyak, yang terbesar di dunia.

Bagaimanapun, pengeluaran minyak mentahnya, sekitar satu juta tong sehari (bpd), jauh lebih rendah berbanding Arab Saudi (10 juta bpd) dan Amerika Syarikat (13.8 juta bpd).

Selain itu, pengeluaran Venezuela menyumbang kurang daripada satu peratus bekalan minyak global dan tidak berkemungkinan mencetuskan kejutan bekalan.

”Justeru, kami tidak melihat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan atau perbelanjaan modal merentasi liputan sektor minyak dan gas negara.

”Ini memandangkan aktiviti domestik terus didorong terutamanya oleh disiplin perbelanjaan huluan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), dan bukannya perkembangan geopolitik luaran,” katanya.

Oleh itu, perkembangan di Venezuela dilihat sekadar gangguan sentimen dan bukan pemacu asas kepada pengeluar serta penyedia perkhidmatan tempatan.

Atas faktor-faktor berkenaan, Public Investment Bank Bhd mengekalkan saranan neutral terhadap sektor minyak dan gas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.