Peruntukan dana tambahan, pengenalan skim jaminan pembiayaan sokong pertumbuhan PKS

KUALA LUMPUR, 6 Januari – Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM2.5 bilion bagi Dana BNM untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengenalan skim jaminan pembiayaan.

Bank pusat dalam satu kenyataan berkata, inisiatif berkenaan disediakan bagi menyokong pertumbuhan PKS tempatan susulan Ucapan Amanat Tahun Baru 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Jelas BNM, peruntukan tambahan di bawah Dana BNM itu akan menumpukan kepada saluran dana kepada peminjam kali pertama.

”Setakat ini, BNM telah menyediakan pembiayaan konsesi sebanyak RM32.4 bilion bagi menyokong akses pembiayaan PKS melalui institusi kewangan peserta, khususnya perusahaan mikro dan kecil
yang berdaya maju, namun menghadapi kekangan pembiayaan.

”Penambahan ini meningkatkan jumlah peruntukan di bawah Dana BNM kepada RM34.9 bilion,” katanya.

Untuk tempoh akan datang, BNM akan beralih kepada sokongan berasaskan jaminan dengan sasaran pembiayaan yang dijamin sebanyak RM10 bilion.

Peralihan kepada skim jaminan kredit bertujuan untuk memaksimumkan impak bantuan dengan memanfaatkan segmen PKS yang lebih meluas, termasuk peminjam kali pertama dan aktiviti keusahawanan baharu.

”Skim ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan institusi kewangan,” tambah BNM.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.