SARA, STR dan penangguhan e-invois ringankan beban rakyat dan PKS

KUALA LUMPUR, 5 JAN – Pengumuman beberapa inisiatif ekonomi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 disifatkan sebagai langkah tepat untuk menangani tekanan kos sara hidup serta menyokong kelangsungan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Penyelidik Ekonomi, TA Securities, Shazma Juliana Abu Bakar berkata langkah penangguhan pelaksanaan e-invois bagi syarikat berpendapatan RM1 juta hingga RM5 juta memberikan ruang kepada PKS untuk menyesuaikan operasi mereka dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar.

“Ini menunjukkan kerajaan cakna dengan cabaran kos sara hidup yang tinggi apabila mengumumkan penangguhan e-invois ini.

“Apatah lagi dalam keadaan PKS yang masih menyesuaikan diri dengan kesan langsung daripada pasaran global terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.

Tambahnya, gabungan sokongan kerajaan melalui pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan pengguna dan kelangsungan perniagaan PKS, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi domestik.

“Dari sudut pengguna pula, pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diawalkan sedikit sebanyak membantu meringankan kos sara hidup yang semakin meningkat, terutamanya menjelang pembukaan sekolah dan musim perayaan seperti Ramadan dan Tahun Baru Cina. Ia memberi kelegaan kepada golongan yang rentan.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Biz Malaysia, di Angkasapuri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.