SARA untuk semua dijangka beri rangsangan segera ekonomi suku pertama

KUALA LUMPUR, 7 Januari – Pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas secara sekali beri bermula 9 Februari depan dijangka memberi rangsangan segera kepada ekonomi Malaysia, khususnya melalui peningkatan penggunaan domestik pada suku pertama 2026.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPP Wealth Manager Limited, Mohd Sedek Jantan berkata, inisiatif yang dikreditkan terus kepada pembelian barangan keperluan itu sekali gus merangsang penggunaan domestik dalam tempoh terdekat.

“Kesan inisiatif ini mungkin bersifat sementara untuk tempoh setahun, namun ia memberi rangsangan langsung kepada barangan kepenggunaan.

“Pada suku pertama, kesan pengganda adalah paling ketara, manakala bagi suku kedua dan ketiga, impaknya dijangka berlaku dalam bentuk limpahan secara berperingkat,” katanya selepas menjadi tetamu Biz Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Penyaluran secara terus kepada pembelian produk memastikan kesan rangsangan itu tertumpu kepada aktiviti kepenggunaan dan perbelanjaan isi rumah.

Rangsangan itu seterusnya memberi kesan segera dan langsung kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2026, selaras dengan peningkatan aktiviti ekonomi domestik dalam tempoh berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.