KUALA LUMPUR, 3 Januari – Penyanyi terkenal Indonesia merangkap vokalis utama kumpulan Fourtwnty, Ari Lesmana, bakal mengadakan konsert solo pertamanya di Sabah menerusi persembahan bertajuk “Mangu Di Bawah Bayu” pada 6 Februari ini.
Konsert itu akan berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu dan mengetengahkan konsep “Mangu” yang melambangkan ketenangan jiwa dan penghayatan emosi, sekali gus menawarkan pengalaman muzik yang lebih intim kepada penonton.
Pengarah Urusan Sembang Kari Entertainment, Fakhrul Khalid dalam kenyataannya berkata, penganjuran konsert berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya membawa pengalaman hiburan bertaraf tinggi ke Malaysia Timur.
“Konsert itu bukan sekadar hiburan, sebaliknya memberi ruang kepada penonton untuk berhubung secara emosional dengan artis dalam suasana produksi bertaraf antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ari Lesmana menyifatkan Sabah sebagai lokasi istimewa yang selari dengan konsep konsert yang dibawanya.
“Saya sudah lama ingin bertemu peminat di Borneo dengan lebih dekat. Keindahan alam dan energinya sangat serasi dengan jiwa Mangu,” katanya.
Selain menampilkan vokal Ari Lesmana, konsert itu turut diserikan dengan kolaborasi khas bersama DJ Firza dan Millvrd.
Tiket konsert mula dijual sejak 22 Disember 2025 dalam dua kategori iaitu VIP berharga RM377 dan Festival Standing berharga RM177, tidak termasuk caj pemprosesan.
Pembelian tiket boleh dibuat secara dalam talian menerusi www.myticketempire.com.