KUALA LUMPUR, 21 Disember – Kumpulan nasyid kontemporari UNIC melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mengadakan konsert solo penuh pertama mereka, “This Is UNIC: Live In Concert”, di Idea Live Arena, malam tadi, selepas lebih dua dekad mewarnai industri muzik berteraskan dakwah dan nilai kemanusiaan.
Dianjurkan Triple Am Global, konsert tersebut bukan sekadar hiburan, sebaliknya satu pernyataan seni yang membuktikan muzik nasyid kekal relevan dalam landskap hiburan arus perdana.
UNIC membawa penonton menyusuri perjalanan seni mereka menerusi lagu-lagu awal seperti Hanyut, Balqis dan Remaja, sebelum diteruskan dengan karya matang termasuk Jalinan dan Keroncong Kasih Sayang.
Segmen lebih tenang menerusi Doa Dhuha, Qunut Nazilah dan Anak Soleh mewujudkan suasana penghayatan rohani yang menyentuh emosi penonton. Sorakan memuncak apabila lagu ikonik seperti Hanya Tuhan Yang Tahu, Mahligai Kasih dan Ainul Mardhiah dipersembahkan secara ‘sing-along’ atau nyanyian bersama.
Konsert turut diserikan dengan penampilan istimewa Naufal Isa dan Nizam Laksamana, melambangkan sokongan serta persahabatan sesama penggiat seni nasyid.
Menutup tirai dengan Ainul Mardhiah, UNIC menyifatkan konsert ini bukan penamat, sebaliknya permulaan baharu dalam usaha mengangkat martabat nasyid ke pentas lebih besar, sekali gus mengukuhkan kedudukan genre itu dalam arus perdana hiburan tanah air.