10 lagi suspek pergaduhan bersenjata di Medan Selera Sungai Bakap ditahan

NIBONG TEBAL, 3 Januari -Polis menahan 10 lagi individu disyaki terlibat dalam kes pergaduhan sekumpulan lelaki bersenjata di Medan Selera Sungai Bakap.

Ketua Polis Negeri, Datuk Azizee Ismail dalam kenyataan berkata, penahanan itu dilakukan menerusi dua serbuan berasingan di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dan Taiping, Perak, semalam.

Penangkapan terbaharu itu menjadikan keseluruhan 14 suspek berjaya diberkas dalam tempoh 48 jam selepas kejadian.

“Kesemua mereka yang berusia antara 24 hingga 54 tahun itu dipercayai merupakan ahli kongsi gelap yang aktif di Pulau Pinang. 10 daripada suspek memiliki rekod kesalahan jenayah dan dadah,” katanya menerusi kenyataan itu.

Hasil risikan, polis turut menggempur beberapa kawasan yang dipercayai menjadi lokasi ahli kumpulan tersebut berkumpul, bagi mengesan saki baki suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Terdahulu, sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyerang mangsa berusia 59 tahun sehingga meninggal dunia.

Manakala, dua lagi mangsa yang parah dirawat di Hospital Sungai Bakap.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.