BUKIT KATIL, 7 Januari – Sebanyak 11 kenderaan disita manakala 11 individu ditahan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Op PeWA) di sekitar negeri Melaka, semalam.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, menerusi pemeriksaan ke atas 55 kenderaan itu lapan warga Indonesia, Bangladesh (1), Syria (1) dan Myanmar (1) ditahan.
Sementara itu sebanyak 43 notis kesalahan dikeluarkan akibat tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.
“Sehubungan itu, JPJ Negeri Melaka menegaskan bahawa setiap pemilik kenderaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penggunaan kenderaan masing-masing.
“Memberi kebenaran kepada pemandu warga asing untuk menunggang motosikal atau memandu mana-mana kenderaan tanpa lesen memandu yang sah merupakan satu kesalahan, dan tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JPJ Melaka di sini.
Bagaimanapun jumlah notis kesalahan yang dikeluarkan JPJ Melaka menunjukkan penurunan sebanyak 5,447 notis kesalahan atau 7.3 peratus pada 2025 yang merekodkan 69,256 notis berbanding 74,703 notis pada 2024.