SUNGAI PETANI, 6 Januari – Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda berjaya menahan dua ahli kumpulan ‘Geng Kecik’ termasuk ketuanya dalam operasi khas Op Pintu/Lusuh sepanjang bulan Disember 2025.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Hanyan Ramlan berkata, kumpulan itu aktif mencuri meter air di sekitar Daerah Kuala Muda. Siasatan awal mendapati, kedua-dua lelaki berusia 47 dan 48 tahun itu membeli meter air yang dicuri suspek lain di beberapa lokasi sekitar daerah berkenaan.
Polis turut merampas sebuah kereta lama yang dijadikan sebagai tempat untuk menyimpan meter air yang dicuri serta 100 unit meter air dan alat penimbang berat.
“Kebanyakan meter air ini berada di luar kawasan rumah atau industri. Kita juga mendapati meter air bagi sektor industri terletak di kawasan luar premis kilang atau persendirian. Lazimnya, meter-meter air ini berada di kawasan terlindung, sekali gus memudahkan pelaku melakukan jenayah. Kita turut percaya mereka menyamar sebagai pekerja utiliti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini.
Hasil semakan mendapati, suspek pertama mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, manakala suspek kedua mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah. Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan curi meter.
Pihaknya kini sedang memburu dua lagi ahli kumpulan tersebut yang masih bebas. Bagi tempoh Jun hingga Disember tahun lalu, Polis Daerah Kuala Muda menerima 66 laporan berkaitan kes curi meter air melibatkan kerugian kira-kira RM10,000.