SERDANG, 30 Disember -Kes kecurian kabel dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada peningkatan indeks jenayah di daerah Serdang sepanjang tahun ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Muhamad Farid Ahmad berkata, statistik jenayah merekodkan peningkatan sebanyak 99 kes, dengan 810 kes dicatatkan pada 2025 berbanding 711 kes pada 2024.
“Indeks jenayah meningkat disebabkan pelbagai faktor, namun kita berjaya mengimbangi keadaan ini dengan kadar pertuduhan yang memuaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, petang tadi.
Dalam majlis sama, beliau turut menyempurnakan pelupusan barang kes bernilai kira-kira RM3.5 juta yang dirampas sepanjang tahun ini.
Antara barangan yang dilupuskan termasuk 283,872 kotak rokok, 53,691 tin dan botol minuman keras, 178 peralatan perjudian, 353 mesin Bitcoin serta pelbagai barangan lain.
Keseluruhan pelupusan itu melibatkan 673 kertas siasatan.