BUKIT MERTAJAM, 6 Januari – Seorang lelaki warga Bangladesh berusia 45 tahun ditahan kerana memiliki 100 ekor kura-kura dan labi-labi di Bagan Lalang, di sini, pada 4 Januari lalu.
Penahanan dibuat hasil risikan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan polis selama dua minggu.
Pengarah Perhilitan, Mohd Zaide Mohamed Zin berkata, haiwan eksotik terbabit dipercayai untuk dijual kepada rumah ibadat di negeri ini bagi tujuan upacara keagamaan.
“Kita dapat maklumat ni dalam dua minggu lepas tapi kita ambil langkah langkah yang tepat untuk buat serbuan supaya suspek tidak terlepas serta maklumat tidak bocor lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media di Pejabat Perhilitan Seberang Perai, di sini.
Tambahnya, semasa penahanan hanya suspek sahaja berada di premis kediaman sebelum pemeriksaan lanjut menemui kesemua spesies eksotik berkenaan yang dianggarkan bernilai RM20,000.
Suspek direman selama empat hari sehingga Khamis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).