SUNGAI PETANI, 6 Januari – Tiga lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan ditahan bagi membantu siasatan kes pecah masuk sebuah kedai telekomunikasi di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Hanyan Ramlan berkata, kesemua suspek berusia 17 hingga 40 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan sekitar Daerah Kuala Muda.
“Suspek memecahkan cermin menggunakan batu untuk masuk ke dalam premis. Premis berkenaan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan hasil rakaman, termasuk daripada kamera lain, mendapati terdapat tiga individu terlibat yang menutup muka serta bertopeng,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit dan juga rakaman di premis-premis berdekatan, beberapa suspek dilihat menaiki dua kenderaan dalam kejadian antara pukul 3.00 hingga 6.00 pagi semalam.
Hasil laporan dan siasatan yang dijalankan membawa kepada penahanan ketiga-tiga suspek terbabit termasuk pengawal keselamatan yang bertugas di premis berkenaan.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Rakaman CCTV di premis terbabit dan premis-premis berdekatan sedang diteliti bagi membantu siasatan dan mengesan suspek terlibat.
Kejadian tersebut menyebabkan pemilik premis kerugian kira-kira RM20,000 selepas beberapa telefon bimbit dilarikan suspek.