Pengurus syarikat, dua penjawat awam ditahan reman kemuka tuntutan palsu

LABUAN, 7 Januari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan menahan reman seorang pengurus syarikat dan dua penjawat awam kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi membekal makanan tahanan di salah sebuah jabatan penguatkuasaan di sini.

Perintah reman selama lima hari sehingga 11 Januari 2026 dikeluarkan Hakim Majistret Dr. Melissa Chia selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Labuan pagi tadi.

Menurut kenyataan SPRM Labuan, ketiga-tiga Orang Yang Disyaki (OYDS) iaitu seorang lelaki merupakan pengurus syarikat dan dua wanita merupakan penjawat awam berumur lingkungan 31 hingga 43 tahun telah ditahan petang semalam.

“Pengurus syarikat berkenaan ditahan kerana membuat tuntutan palsu antara April hingga Julai 2025 dengan jumlah keseluruhan lebih kurang RM40,000.

“Dua penjawat awam yang berkhidmat di bahagian kewangan jabatan itu ditahan kerana disyaki bersubahat dalam proses memperakukan tuntutan palsu tersebut dengan mendapat habuan berupa wang tunai daripada pengurus syarikat,” menurut kenyataan itu.

Ketiga-tiga OYDS disiasat bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.