GEORGE TOWN, 4 Januari — Seorang pesara kerajaan mengalami kerugian melebihi RM1 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian yang dipercayai didalangi sindiket penipuan, sejak Oktober tahun lalu.
Mangsa, seorang lelaki berusia 67 tahun, dipercayai terjerat dengan sindiket terbabit selepas berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi Facebook pada penghujung Ogos lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, suspek telah memperkenalkan satu pelaburan saham dikenali sebagai Dac Pro yang didakwa berkaitan dengan syarikat Navis Management Sdn Bhd.
Menurut beliau, mangsa melakukan 28 transaksi pemindahan wang ke dalam tujuh akaun bank berbeza bermula 8 Oktober hingga 24 Disember 2025, mengakibatkan kerugian keseluruhan melebihi RM1 juta.
“Mangsa dijanjikan pulangan keuntungan dalam tempoh singkat, namun hanya menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi pelaburan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara, sebat atau denda jika sabit kesalahan.