IPOH, 7 Januari -Orang ramai diminta membantu polis untuk mengesan seorang lelaki bagi siasatan berkaitan waran pengkomitan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam kenyataan berkata, lelaki tersebut adalah K. Patmanathan @ Muhammad Riduan Abdullah, 57, yang beralamat di Nombor 10, Persiaran Pegoh Dua, Off Jalan Pasir Puteh di sini.
Mana-mana individu yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan penama tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, ASP Yap Siew Cheng, di talian 012-9093362
“Muhammad Riduan yang memeluk Islam pada 2009, meninggalkan rumah di Ipoh bersama anak perempuannya, Prasana Diksa yang ketika itu berusia 11 bulan.
“Dua hari kemudian dia secara sepihak menukar agama anaknya tanpa persetujuan serta pengetahuan bekas isterinya Indira Ghandi yang dikahwini pada 1993,” menurutnya menerusi kenyataan itu.
Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan Indira hak penjagaan sepenuhnya terhadap anaknya di samping memerintahkan Muhammad Riduan menyerahkan Prasana kepada ibunya, dan pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya itu kepada bekas isterinya.