Sindiket dadah sekitar Georgetown tumpas

GEORGE TOWN, 3 Jan – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penyimpanan dan pengedaran pelbagai jenis dadah sekitar Georgetown membabitkan nilai rampasan RM2 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, empat suspek termasuk seorang wanita warga asing berusia 19 hingga 40 tahun turut ditahan.

Katanya, operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bermula pukul 1.00 tengah hari semalam hingga 2.00 pagi tadi.

“Dalam serbuan ini, polis menahan seorang lelaki dan wanita warga asing yang berperanan sebagai ‘runner’ menyimpan dan mengedar dadah di sekitar Georgetown sebelum membawanya ke kenderaan di kawasan parkir yang dijadikan tempat penyimpanan dadah.

“Antara yang dirampas ialah beg mengandungi 156 paket plastik serbuk disyaki MDMA, satu plastik mengandungi 41 paket plastik berisi serbuk putih disyaki dadah jenis kelamin serta satu papan kepingan aluminium berisi 10 biji pil disyaki pil erimin five,” katanya.

Menurut Datuk Azizee, hasil soal siasat membawa kepada dua lagi lelaki berperanan sebagai ‘runner’.

“Saringan ujian air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah selain turut mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

“Sindiket terbabit bergiat aktif mengedar dadah sejak Julai lepas,” katanya.

Kesemua suspek direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

Share
Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.