ALOR SETAR, 6 Januari – Seorang pengarah sebuah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di Kedah ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah.
Wanita itu didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Koperasi dengan melantik syarikat milik anaknya untuk kerja-kerja pembekalan kain batik bernilai kira-kira RM16,000.
Perintah reman selama lima hari sehingga 10 Januari ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 50-an ditahan kira-kira pukul 1.00 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sungai Petani, Kedah.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar Ogos 2024, ketika pembekalan kain batik berkenaan bertujuan untuk pembuatan baju batik tenaga pengajar dan kakitangan institusi tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. Kes disiasat bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.