Wanita didakwa hina agama Islam, bertindak agresif terhadap polis

ALOR SETAR, 4 Januari — Seorang pengurus jualan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini atas tiga pertuduhan termasuk menggunakan kekerasan terhadap anggota polis, mengaibkan penjawat awam dan melukakan perasaan keagamaan, susulan insiden kekecohan di Mergong, minggu lalu.

Tertuduh, Teoh Siew Li, 34 tahun, berasal dari Kuala Kangsar, Perak, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dengan meludah mangsa bagi menghalang beliau daripada menjalankan tugas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Bandar Baharu, Mergong, pada pukul 12 tengah hari, 31 Disember 2025 dan disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengeluarkan kata-kata mengaibkan serta menunjukkan isyarat lucah dengan mengacukan jari tengah kepada anggota polis terbabit di lokasi dan tarikh yang sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan penganut agama Islam dengan mengeluarkan kenyataan menghina agama terhadap anggota polis berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Negeri Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan atas alasan perlu menanggung ibu dan adik iparnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 20 Januari sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.