SAUDARA PENGARANG
Umum mengetahui kanak-kanak adalah merupakan aset paling berharga dalam pembinaan masa depan masyarakat dan negara membangun. Pada peringkat usia awal, mereka sangat mudah dipengaruhi oleh persekitaran, termasuk media yang ditonton saban hari.
Dalam era digital masa kini, animasi menjadi salah satu medium utama yang diminati oleh kanak-kanak. Oleh itu, penggunaan animasi Islamik dilihat sebagai satu pendekatan yang berkesan untuk menggalakkan dan memupuk nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak secara berperingkat dan berterusan.
Konsep Animasi Islamik
Animasi Islamik merujuk kepada kandungan animasi yang disampaikan berdasarkan ajaran dan nilai Islam, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ia merangkumi unsur akidah, akhlak mahupun adab juga ibadah yang disampaikan dalam bentuk visual yang menarik, jalan cerita yang mudah difahami serta watak yang dekat dengan dunia kanak-kanak.
Antara contoh nilai yang sering diketengahkan ialah kejujuran, kasih sayang, hormat-menghormati, kesabaran, tolong-menolong dan ketaatan kepada ibu bapa.
Kepentingan Nilai Murni dalam Pembentukan Kanak-kanak
Nilai murni memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah dan akhlak kanak-kanak. Penerapan nilai ini sejak kecil membantu kanak-kanak membezakan antara perkara yang baik dan buruk, seterusnya membimbing mereka untuk berkelakuan positif dalam kehidupan seharian.
Tanpa bimbingan nilai yang kukuh, kanak-kanak mudah terdedah kepada pengaruh negatif seperti sikap mementingkan diri, membuli, kurang empati dan kurang adab dalam pergaulan.
Peranan Animasi Islamik dalam Menerapkan Nilai Murni
Animasi Islamik berfungsi sebagai medium pendidikan tidak formal yang efektif. Melalui penceritaan, dialog dan visual yang menarik, kanak-kanak dapat mempelajari nilai murni secara santai tanpa paksaan.
Watak-watak dalam animasi sering dijadikan teladan oleh kanak-kanak. Apabila watak tersebut menunjukkan akhlak yang baik, seperti menolong rakan, berkata jujur atau bersabar ketika diuji, kanak-kanak cenderung untuk meniru tingkah laku tersebut.
Selain itu, animasi Islamik juga mampu mengaitkan nilai murni dengan situasi kehidupan sebenar kanak-kanak, seperti di rumah, sekolah dan taman permainan. Hal ini menjadikan mesej yang disampaikan lebih mudah difahami dan diamalkan. Tambahan pula, elemen audio seperti nasyid dan dialog yang sopan turut membantu mengukuhkan lagi mesej moral yang ingin disampaikan.
Cabaran dan Tanggungjawab Ibu Bapa serta Pendidik
Walaupun animasi Islamik mempunyai banyak kebaikan, pemilihan kandungan yang sesuai tetap menjadi tanggungjawab ibu bapa dan pendidik. Tidak semua animasi yang berlabelkan Islamik sesuai untuk semua peringkat umur.
Oleh itu, pemantauan dan bimbingan amat penting bagi memastikan kanak-kanak memahami mesej yang betul. Ibu bapa juga digalakkan untuk berbincang bersama anak-anak selepas menonton animasi bagi mengukuhkan kefahaman dan penghayatan nilai murni yang dipelajari.
Kebaikan Penerapan Nilai Murni Berdasarkan Al-Quran
Penerapan nilai murni dalam diri kanak-kanak membawa kebaikan yang besar terhadap pembentukan akhlak dan keperibadian mereka. Kanak-kanak yang dibiasakan dengan nilai seperti jujur, amanah dan berbuat baik akan membesar sebagai individu yang bertanggungjawab serta dihormati oleh masyarakat.
Hal ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl ayat 90 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu berlaku) adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat…” Ayat ini menegaskan bahawa amalan nilai murni merupakan tuntutan utama dalam kehidupan seorang Muslim.
Selain itu, nilai murni seperti kesabaran, kasih sayang dan saling memaafkan dapat membantu kanak-kanak mengawal emosi serta membina hubungan sosial yang sihat. Kanak-kanak yang dididik dengan nilai ini akan lebih berempati, mudah bekerjasama dan tidak bersikap agresif.
Allah SWT berfirman dalam Surah Ali ‘Imran ayat 159 yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat dari Allah engkau (wahai Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka…”
Ayat ini menunjukkan bahawa sikap lemah lembut dan kasih sayang merupakan asas penting dalam mendidik dan membimbing insan, khususnya di peringkat kanak-kanak.
Di samping itu, penerapan nilai murni juga membantu kanak-kanak membina jati diri yang kukuh berlandaskan keimanan. Nilai seperti taat kepada ibu bapa, menghormati orang lain dan menjauhi perkara buruk akan menjadi benteng daripada pengaruh negatif.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah Luqman ayat 14 yang menekankan kewajipan berbuat baik kepada ibu bapa. Melalui pendedahan berterusan terhadap nilai murni yang disokong oleh dalil al-Quran, kanak-kanak dapat memahami bahawa akhlak mulia bukan sekadar adab sosial, malah satu bentuk ketaatan kepada Allah SWT.
Kesimpulannya, animasi Islamik merupakan medium yang sangat berpotensi dalam menggalakkan nilai murni pada kanak-kanak. Dengan penyampaian yang kreatif, menarik dan selari dengan ajaran Islam, animasi ini mampu membentuk akhlak mulia serta jati diri kanak-kanak secara berkesan.
Apa yang paling penting adalah, kerjasama antara pembangun kandungan, ibu bapa dan pendidik bagi memastikan animasi Islamik dimanfaatkan sepenuhnya sebagai alat pendidikan akhlak dalam membina generasi yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Nadiah Ramlan
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah
Universiti Sains Islam Malaysia