SAUDARA PENGARANG
Kita dikejutkan dengan berita tangkapan aktiviti songsang yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Lebih kecewa apabila melibatkan golongan guru, doktor, profesional dan hampir majoritinya adalah berbangsa melayu dan beragama Islam. Ini tamparan buat mereka yang beragama kerana dilihat seolah agama tidak mampu membendung perbuatan sundal ini walaupun bukan agama yang sepatutnya dipersalahkan.
Menurut Al-Ghazali, krisis identiti ini berlaku disebabkan banyak perkara. Pada saya, antara yang paling utama adalah krisis kekosongan jiwa. Menurut al-Ghazali jiwa dan akal adalah saling melengkapi. Jiwa (al-nafs) adalah tempat duduknya emosi. Manakala akal (al-aql) adalah tempat menilai dan berfikir. Kedua-dua premis ini adalah saling melengkapi dalam menentukan tujuan arah kehidupan manusia. Apabila berlaku tidak keseimbangan, krisis akan mula berlaku.
Jiwa yang kosong tanpa tujuan hidup yang benar, kosong dari hubungan dengan tuhan dan kabur dari panduan untuk diikuti akan melahirkan manusia yang mengalami krisis dalam menentukan identitinya. Jiwa yang kosong akan diisi dengan syahwat tanpa kawalan.
Ketika ini akal sudah melemah dan tidak mampu lagi membezakan baik dan buruk. Mereka tidak minta untuk songsang, akan tetapi apabila jiwa (al-nafs) menenggelamkan peranan akal (al-aql) maka premis fitrah mula rosak secara berperingkat dan akhirnya tersasar dari landasan fitrah.
Keruntuhan Budaya Merancakkan Kekeliruan Individu
Krisis ini bukan masalah individu semata, akan tetapi kepelbagaian faktor luaran yang menjadi pendorong besar kepada krisis moral ini. Ianya sangat berkait rapat dengan faktor sosialnya. Fahaman sekular (pemisahan peranan tuhan dan manusia/kebebasan mutlak) adalah akar terbesar yang menggantikan tujuan hidup. Apabila hidup dipandukan dengan rencana ini, maka nafsu akan membina kehendak sendiri tanpa melibatkan hal ketuhanan lagi.
Budaya pop dan kandungan hiburan yang tiada tapisan juga turut membantu dalam menormalisasikan krisis songsang ini. Lawak lucah atau aksi dalam kalangan individu ‘berpengaruh’ itu telah pun dihidangkan secara terbuka tanpa memikirkan kesan sosialnya kepada ‘jiwa kosong’. Perkara itu, hakikatnya tertanam di peringkat minda separa sedar manusia.
Justeru, institusi keluarga sangat penting dalam membina persekitaran berjiwa. Namun trauma keluarga dan kerapuhan institusi boleh merencamkan lagi budaya songsang. Apabila keluarga runtuh, jiwa anak-anak turut runtuh.
Anak yang membesar tanpa belaian emosi, tanpa contoh lelaki dan perempuan yang seimbang, tanpa disiplin yang membina mereka mencari tempat lain untuk mendapatkan identiti, perhatian dan rasa “diterima”. Pada saat inilah pengaruh luar mengambil alih tugas yang sepatutnya dilakukan oleh keluarga.
Normalisasi Budaya Songsang: Jajahan Minda Separa Sedar
Apa yang membimbangkan, normalisasi gaya hidup songsang ini tidak lagi berlaku secara senyap-senyap. Ia berlaku secara terbuka, dirai, malah dijadikan jenaka yang dianggap “tak apa”. Jiwa-jiwa yang longgar inilah yang paling mudah terpesong, kerana mereka sedang mencari tempat berpaut dalam dunia yang tidak lagi memberi pedoman jelas.
Inilah punca utama kekeliruan identiti. Ia bukan sekadar isu nafsu, tetapi budaya yang longgar dari nilai bertuhan. Nilai agama menjadi asing, tetapi nilai hedonisme diterima sebagai sesuatu yang normal. Masyarakat hari ini sedang berada difasa dimana dosa diterima sebagai pilihan, bukan lagi penyimpangan hidup.
Lebih malang, apabila ada suara yang menegur, mereka akan dilabel ekstrem, tidak terbuka, dan tidak progresif. Padahal teguran itu adalah benteng terakhir sebelum runtuhnya maruah manusia. Apabila budaya merosot, itu tanda tamadun manusia menuju kehancuran. Inilah krisis sebenar yang kita sedang hadapi.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Loqman Harith Zainol Mohamad Haidhir
Guru Dini
Sekolah Menengah Agama Dato Hj Mustafa
Batu Kikir, Negeri Sembilan