SAUDARA PENGARANG
Di sebuah halaqah ilmu di Madinah, kelihatan seorang remaja duduk di barisan belakang. Tatkala rakan sepengajian lain sibuk menyediakan kitab, dakwat dan pena, anak muda ini hanya menggenggam sebatang jerami yang dipatah dua. Setiap kali Imam Malik menyampaikan hadis, dia menunduk dan mencalit tanda ringkas di tapak tangannya menggunakan jerami yang dicelup dengan air liur.
Bagi mata yang memandang, perbuatannya kelihatan pelik. Malah Imam Malik sendiri hampir menegurnya kerana menyangka dia sedang bermain-main. Namun, apabila diminta menjelaskan, remaja itu menjawab dengan tenang;
“Wahai Imam, aku sedang menulis.” Beliau kemudian membaca semula setiap tanda kecil itu satu persatu tanpa cacat cela. Anak muda itu ialah Imam al-Syafi‘ie, seorang tokoh yang bukan sahaja memiliki kesungguhan luar biasa, tetapi juga strategi pembelajaran yang unik.
Kisah ini sering diangkat sebagai bukti kecerdasan luar biasa Imam al-Syafi‘ie. Namun, jika diteliti secara mendalam, tersirat sebuah pengajaran praktikal iaitu beliau tidak bergantung kepada hafalan semata-mata. Beliau mengamalkan dua tindakan yang saling menguatkan iaitu mendengar dengan fokus yang tajam dan membuat catatan aktif secara ringkas.
Dalam dunia pendidikan hari ini, kaedah ini dikenali sebagai rangsangan pelbagai deria yang membantu mengukuhkan sel saraf dalam otak untuk pemahaman yang lebih tuntas. Dalam konteks pendidikan moden, khususnya bidang perubatan, pelajar berdepan cabaran lambakan maklumat yang sangat luas. Ilmu perubatan sentiasa bergerak, berubah dan berkembang. Ramai pelajar mempunyai keupayaan intelektual yang baik, namun belum menemui strategi menyerap maklumat yang berkesan.
Ada yang menghabiskan masa berjam-jam membaca tanpa mencatat, atau hadir ke dewan kuliah sekadar sebagai penerima pasif tanpa memproses apa yang didengar. Akhirnya, apabila maklumat gagal bertaut dalam minda, mereka mula menyalahkan diri sendiri dan merasa tidak cukup pintar. Hakikatnya, masalah utama terletak pada strategi, bukannya kemampuan diri.
Pelajar cemerlang di peringkat matrikulasi juga tidak terkecuali daripada kemelut ini. Apabila melangkah ke alam universiti, mereka sering bergelut mengikuti tempo kuliah yang lebih pantas dan kandungan yang jauh lebih kompleks. Strategi pembelajaran yang membuahkan hasil di peringkat sekolah tidak semestinya efektif di universiti kerana corak ilmu yang berbeza memerlukan pendekatan yang lebih sistematik.
Di sinilah pendekatan Imam al-Syafi‘ie boleh diterjemahkan melalui lensa moden iaitu model VARK yang merujuk kepada gaya Visual, Aural (Pendengaran), Pembacaan dan Kinestetik (Praktikal). Setiap pelajar mempunyai kecenderungan unik dalam memproses maklumat. Ada yang lebih mudah faham melalui grafik, ada yang tajam pendengarannya, ada yang perlu menulis nota secara teliti dan ada yang lebih berkesan melalui latihan praktikal.
Bagaimanakah seorang pelajar boleh mengenal pasti gaya yang paling serasi? Langkah pertama adalah melalui soal selidik VARK yang kini mudah dicapai secara percuma di internet. Selain ujian atas talian, pelajar perlu berani melakukan eksperimentasi kendiri dengan mencuba pelbagai kaedah dalam tempoh seminggu. Perhatikan teknik mana yang paling membantu maklumat ‘melekat’ dalam minda tanpa membebankan mental secara berlebihan.
Bagaimanapun, penemuan gaya belajar kendiri ini akan menjadi lebih ampuh apabila diuji dalam persekitaran yang interaktif. Dalam arena pendidikan perubatan, pendekatan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) merupakan manifestasi moden kepada kaedah belajar aktif yang menggabungkan elemen individu dan kumpulan.
Di tengah-tengah kebanjiran teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang mendorong pelajar untuk lebih banyak belajar secara bersendirian, PBL menawarkan dimensi yang tidak mampu diberikan oleh skrin komputer iaitu peluang untuk belajar daripada interaksi manusia.
PBL bukan sekadar jambatan yang menghubungkan teori akademik dengan realiti klinikal, malah ia bertindak sebagai makmal sosial untuk pelajar memerhati bagaimana rakan sebaya memproses maklumat. Apabila seorang rakan membentangkan mekanisme penyakit melalui lakaran dan seorang lagi menerangkannya melalui analogi cerita, pelajar lain sebenarnya sedang diberi peluang untuk menilai dan mengadaptasi gaya yang paling mudah difahami oleh mereka.
Melalui interaksi ini, kadar penyerapan ilmu menjadi lebih tinggi kerana pelajar tidak lagi sekadar menerima maklumat secara pasif. Mereka belajar untuk menyesuaikan strategi mengikut apa yang paling mudah difahami. Jika sebelum ini mereka hanya bergantung kepada bantuan AI untuk mendapatkan jawapan pantas, melalui PBL mereka melihat bagaimana jawapan itu dibina, dibincangkan, dan diperkukuhkan melalui pelbagai sudut pandang rakan-rakan.
Kuncinya tetap sama, iaitu memberikan peluang kepada diri untuk terlibat sepenuhnya dalam proses ilmu. Sama ada belajar secara individu atau dalam kumpulan, pelajar perlu sedar bahawa setiap interaksi adalah peluang untuk menguji kaedah mana yang paling berkesan untuk ingatan jangka panjang.
Langkah-langkah kecil seperti memerhati cara rakan menerangkan isu yang sukar mungkin kelihatan biasa, namun itulah yang membezakan antara individu yang sekadar menghafal dengan mereka yang benar-benar menguasai ilmu.
Dalam era ledakan maklumat hari ini, pelajar memerlukan strategi yang selari dengan cara minda mereka bekerja. Kisah Imam al-Syafi‘ie mengingatkan kita bahawa kejayaan tidak semestinya menuntut peralatan yang serba canggih, tetapi cara belajar yang betul.
Jika seorang remaja pada zaman silam mampu mengukuhkan ingatannya hanya berbekalkan sebatang jerami dan keazaman yang tinggi, pelajar kita hari ini yang memiliki pelbagai kemudahan sebenarnya mempunyai potensi yang jauh lebih besar daripada apa yang mereka bayangkan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi mana-mana institusi termasuk RTM.

Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Pendidikan Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
e-mel: azrilshahreez@iium.edu.my