16 premis makanan di Perlis terima pengiktirafan BeSS KKM

KANGAR, 4 Januari – Sebanyak 16 premis makanan di Perlis menerima Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) bersempena Majlis Penyampaian Pensijilan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diadakan di Kangar, baru-baru ini.

Daripada jumlah itu, lima premis melibatkan kantin sekolah dan sebuah kafeteria turut menerima pengiktirafan berkenaan, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi pengusaha dalam memastikan penyediaan makanan yang bersih dan selamat.

Lima premis terbabit ialah kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Tinggi, kantin SK Batu Bertangkup, kantin SK Guar Jentik, kantin Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Min serta Kafeteria Hospital Tuanku Fauziah.

Pengarah Kesihatan Perlis, Dr Ghazali Chik ketika dihubungi RTM berkata, pengiktirafan BeSS bukan sekadar sijil, sebaliknya menjadi simbol jaminan kepada masyarakat bahawa premis berkenaan telah dinilai dan dipantau secara berterusan oleh KKM daripada aspek kebersihan serta keselamatan makanan.

Menurutnya, pengiktirafan BeSS memberi manfaat besar kepada pengusaha dan pelanggan kerana ia dapat meningkatkan keyakinan pengguna selain membantu pengusaha mengekalkan standard kebersihan yang tinggi secara konsisten.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis turut menggalakkan lebih ramai pengusaha premis makanan mendapatkan pengiktirafan BeSS sebagai usaha melindungi kesihatan pengguna.

“Pada tahun ini, JKN menyasarkan peningkatan sebanyak 20 peratus bagi pengiktirafan BeSS termasuk membabitkan kantin sekolah, dan kerjasama pelbagai jabatan serta agensi berkaitan amat membantu dalam merealisasikan sasaran tersebut,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.