205 penduduk terjejas banjir di daerah Dungun

DUNGUN, 18 Disember – Seramai 205 penduduk terjejas banjir di daerah Dungun berikutan dilanda banjir gelombang kedua di Terengganu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri memaklumkan setakat pukul 10.00 malam tadi Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor di daerah Dungun terjejas banjir.

Seramai 150 penduduk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Shukor manakala 55 orang lagi berlindung di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.

Ketika ini Op Murni dari Batalion ke 18 Rejimen Askar Melayu Diraja PARA yang berpangkalan di Kem Sri Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus membantu memindahkan penduduk terjejas.

Seorang pegawai bersama 25 anggota membuat rondaan dan pemantauan di kedua-dua kampung berkenaan.

Namun kebanyakan penduduk telah pun berpindah lebih awal ke PPS susulan paras air melebihi satu meter.

Dalam pada itu di daerah Kemaman juga menerima hujan tanpa henti mengakibatkan dua lagi PPS dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor dan Dewan Ketengah Dadong.

Seramai 167 penduduk terjejas berada di lima PPS di daerah Kemaman.

Keseluruhannya seramai 100 keluarga berlindung di tujuh PPS dengan 372 penduduk terjejas banjir direkodkan di Terengganu. Keadaan hujan berterusan masih direkodkan di dua daerah berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.