378 saman, 90 motosikal disita dalam dua operasi JSPT KL

KUALA LUMPUR, 1 Januari – Sebanyak 378 saman dikeluarkan manakala 90 buah motosikal disita dalam Operasi Ambang Tahun Baharu yang dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, membabitkan pemeriksaan terhadap 800 buah motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata; individu yang ditahan terdiri daripada remaja berumur antara 15 sehingga 19 tahun

Antara kesalahan utama dikesan termasuk tiada lesen sah, cukai jalan tamat tempoh serta ubah suai kenderaan bermotor yang menyalahi peraturan.

“Kebanyakan individu yang disaman didapati tidak memiliki lesen memandu serta cukai jalan motosikal. Ada juga lesen yang telah tamat tempoh, malah ada yang langsung tidak mempunyai lesen.

“Kami turut mengesan motosikal yang diubah suai termasuk penggunaan ekzos tidak mengikut spesifikasi. Kesemua motosikal terbabit telah disita, dan sebanyak 90 buah motosikal tidak akan dibenarkan dibawa pulang.

“Kami juga mendapati terdapat motosikal yang tidak mempunyai brek, namun alasan brek rosak tidak sepatutnya dijadikan justifikasi,” katanya.

Beliau ditemui media selepas memantau Operasi Ambang Tahun Baharu dan Op Samseng Jalanan di ibu negara.

Operasi berkenaan terdiri daripada lapan pegawai serta 80 anggota trafik bertugas.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti anak masing-masing bagi memastikan tidak terjebak dengan pelbagai kesalahan yang menyalahi undang-undang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.