KUALA LUMPUR, 7 Januari -Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima mengadap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang dilantik menjawat jawatan itu pada 16 Disember.
Menerusi hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pertemuan berlangsung di Istana Bukit Tunku di sini dan Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan taklimat mengenai perancangan serta hala tuju strategik Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Hadir sama pada sesi itu ialah Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.
Dalam pertemuan itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menzahirkan pandangan serta nasihat agar setiap perancangan dilaksanakan dengan penuh integriti, berteraskan tadbir urus yang baik serta sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.
Datuk Seri Dr Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dalam rombakan kabinet diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri.