KUALA LUMPUR, 6 Januari – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kini berada dalam fasa perancangan strategik bagi memuktamadkan rangka kerja pelaksanaan Akta Pekerja Gig (Akta 872).
Pelaksanaan itu termasuk mekanisme penyaluran dana dan bantuan agar dapat dimanfaatkan secara berkesan oleh golongan sasar.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R.Ramanan berkata, aspek pelaksanaan perlu diteliti dengan rapi bagi memastikan ketelusan serta keberkesanan bantuan.
“Bantuan dan penyediaan wang memang sudah ada. Cuma bagaimana kita hendak mengeluarkannya dan memudah cara pelaksanaannya, itu yang masih dalam perbincangan.
“Kita sudah ada beberapa rancangan dalam saluran dan pelaksanaannya akan dibuat secara berfasa. Banyak perkara dalam akta ini sudah siap, tetapi mekanisme pengeluaran dana dan fasilitasi perlu dimuktamadkan terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambah beliau, KESUMA sedang meneliti secara menyeluruh pembentukan ekosistem sokongan yang mampan bagi memastikan perlindungan menyeluruh kepada pekerja gig, selari dengan pertumbuhan sektor tersebut.
Semalam kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta bagi pembiayaan latihan kemahiran dan perlindungan jaringan sosial kepada pekerja gig e-hailing dan p-hailing.
Peruntukan akan disalurkan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan mekanisme pelaksanaannya sedang diperhalusi sebelum diumumkan kelak.
Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872] diwartakan secara pada 31 Disember tahun lalu selepas mendapat Perkenan Diraja pada 16 Dis lepas.
Dewan Negara pada 9 Sept lepas meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025, melakar sejarah baharu dalam melindungi lebih 1.2 juta pekerja gig di Malaysia dan meletakkan noktah kepada era tiada perlindungan undang-undang terhadap golongan itu.