KUALA LUMPUR, 6 Januari – Lebih 200 peserta menyertai Animal Fun Run 2025 sebagai kesinambungan sambutan Hari Haiwan Sedunia yang diraikan pada 4 Oktober setiap tahun bagi menghargai sumbangan hidupan lain dalam ekosistem.
Pensyarah Institut Sains Biologi merangkap Koordinator Program Ekologi dan Biodiversiti Universiti Malaya (UM) Dr. Noorhidayah Mamat, inisiatif itu dilihat sebagai medium pembelajaran secara tidak langsung menyokong usaha pemeliharaan haiwan.
“Kesedaran mengenai pemeliharaan haiwan tidak hanya muncul di makmal atau dalam kelas, sebaliknya ia dapat dipupuk melalui aktiviti yang menyeronokkan, yang menghubungkan peserta dengan alam sekitar dan kehidupan lain di sekeliling mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepasa acara Animal Fun Run 2025 di kawasan Gazebo, Kompleks Perdanasiswa UM di sini.
Acara yang dianjurkan Persatuan Ekologi Biodiversiti UM (EcoBio UM) dengan kerjasama Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) serta Fakulti Sains, UM itu turut disertai pelajar, staf, alumni serta orang awam yang ingin bersenam, beriadah dan menimba ilmu berkenaan variasi biologi.
Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) Hairulazim Mahmud berkata, pihaknya memberikan sokongan penuh dalam usaha meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan biodiversiti.
“Komuniti mempunyai peranan sebagai rakan pelaksana dalam menjayakan agenda kelestarian negara,” katanya.
Animal Fun Run 2025 bukan sekadar aktiviti kesihatan, malah satu bentuk pendidikan awam mengenai tanggungjawab terhadap haiwan yang berkongsi habitat dengan manusia.