BEKENU, 6 Januari – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Cawangan Miri menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk terjejas banjir yang masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna SMK Bekenu di sini, petang tadi.
Ketua Bahagian TBS Bahagian Miri, Marini Juraibi berkata, pihaknya menyerahkan kotak makanan asas bagi meringankan beban penduduk sepanjang berada di PPS.
Menurut beliau, seramai 60 keluarga menerima bantuan pada hari pertama semalam.
“Kehadiran TBS bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi turut meninjau sendiri keadaan penduduk. Ini adalah usaha bersama untuk menyantuni mereka yang terjejas,” katanya ketika ditemui di PPS SMK Bekenu.
Marini berkata, agihan bantuan kini memasuki hari kedua dan akan diteruskan mengikut keperluan semasa.
Sementara itu, penduduk terjejas yang ditemui merakamkan penghargaan atas keprihatinan TBS dan agensi terlibat yang tampil membantu, khususnya dalam memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh bencana.
Penduduk Kampung Jengalas, Hashiela Busri berkata, bantuan makanan yang diterima amat bermakna.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Baitulmal Miri. Bantuan makanan ini sangat membantu kami meneruskan bekalan sepanjang berada di PPS,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Jali turut merakamkan penghargaan terhadap sumbangan berkenaan.
“Terima kasih atas bantuan yang diberikan. Semoga sumbangan ini memberi manfaat kepada semua penduduk di sini,” katanya.
Dalam pada itu, jumlah penduduk yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna SMK Bekenu mencatat penurunan setakat 8 malam tadi susulan keadaan banjir yang semakin pulih di beberapa kawasan di daerah Subis.
Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak, seramai sembilan keluarga melibatkan 19 orang dibenarkan pulang pada 6.45 petang, sekali gus menjadikan baki penduduk di PPS berkenaan berkurang kepada 313 orang daripada 100 keluarga.
Sebelum ini, PPS SMK Bekenu menempatkan 109 keluarga dengan keseluruhan 332 penduduk daripada beberapa kampung terjejas.