Bantuan persekolahan ringankan beban pelajar asnaf

MATA AYER, 5 Januari– Seramai 30 pelajar daripada keluarga asnaf di Kampung Baru Belukar menerima sumbangan bantuan persekolahan bagi persiapan menghadapi sesi persekolahan baharu minggu depan.

Program itu merupakan inisiatif berterusan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Baru Belukar dalam usaha meringankan beban ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

Menurut Penyelaras Program, Siti Berenee Yahaya, setiap pelajar menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM100 bagi membantu mendapatkan keperluan asas persekolahan.

“Komuniti setempat sentiasa cakna dan prihatin terhadap pendidikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, sekali gus memberi keceriaan kepada penerima menjelang pembukaan sekolah,” katanya selepas program sumbangan tersebut pada Ahad.

Beliau berharap program tersebut dapat membantu pelajar daripada keluarga asnaf supaya tidak tercicir dalam pendidikan serta diberi peluang membina masa depan yang lebih baik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.