AYER KEROH, 6 Januari – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 secara sekali beri yang disalurkan kepada semua pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Enam pada tahun ini amat diperlukan, khususnya oleh ibu bapa yang mempunyai anak ramai.
Inisiatif itu membantu mengurangkan beban kewangan dalam membuat persiapan awal persekolahan anak-anak termasuk bayaran yuran dan pembelian barangan keperluan.
Pekerja kilang, Azniza Aznan berkata, bantuan berkenaan sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada keluarganya.
“Bantuan RM150 ini memang melegakan kerana dapat membantu saya membayar yuran sekolah anak. Selebihnya saya berikan kepada anak-anak untuk membeli keperluan mereka. Jika tidak mencukupi, saya akan tambah sendiri,” katanya.
Menurutnya, bantuan itu amat bermakna terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Sementara itu, suri rumah, Nurshafila Nein berkata, bantuan berkenaan membantu menampung perbelanjaan persekolahan anak-anaknya memandangkan pendapatan keluarga yang tidak menentu.
“Saya buat kuih sejuk beku manakala suami bekerja sebagai buruh kampung. Walaupun jumlahnya tidak besar, bantuan ini sangat membantu untuk membeli keperluan sekolah dan menambah sedikit duit bayaran yuran,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Afiq Mohd Mustaffa turut meluahkan rasa syukur atas penyaluran bantuan tersebut.
“Saya benar-benar bersyukur kerana bantuan ini membantu meringankan beban kewangan kami, terutamanya dalam membuat persiapan awal persekolahan anak,” katanya yang bekerja sebagai seorang jurugambar.
BAP merupakan antara inisiatif berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan pelajar dan keluarga terus terbela.
Ini juga bagi menjamin kelangsungan pendidikan tanpa tekanan kewangan yang berlebihan menjelang sesi persekolahan baharu.