ALOR SETAR, 6 Januari – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 secara sekali beri kepada setiap pelajar dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam pada tahun ini melegakan ibu bapa, khususnya dalam menghadapi kenaikan kos barangan persekolahan.
Tinjauan di sekitar Alor Setar mendapati orang ramai menghargai keprihatinan Kerajaan membantu golongan kurang berkemampuan menjelang sesi persekolahan baharu.
Suri rumah, Nur Izatul Syahirah Hassan berkata, bantuan berkenaan amat membantu dalam menyediakan keperluan asas persekolahan anak-anaknya.
“Alhamdulillah, bantuan ini meringankan beban dan boleh digunakan untuk membeli barangan sekolah seperti pakaian seragam. Sebagai suri rumah, memang keperluan ini sangat penting,” katanya.
Sementara itu, Mohd Yasir Abdullah menyifatkan bantuan berkenaan sebagai langkah yang baik walaupun jumlahnya tidak besar.
“Bagus bantuan ini. Kalau lebih lagi memang lebih baik, tetapi RM150 pun sudah boleh mengurangkan beban kerana kos barangan sekarang semuanya meningkat,” menurutnya.
Pandangan sama dikongsi Wendy Tham yang berkata bantuan tersebut sedikit sebanyak membantu ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.
“Kami sebagai ibu bapa memang amat berterima kasih atas bantuan ini kerana ia membantu pembelian buku, pakaian seragam, pakaian sukan dan keperluan sekolah lain,” katanya.
Bagi Shah Rizal Ishak, inisiatif kerajaan itu disifatkan sebagai langkah terbaik untuk keluarga yang mempunyai anak bersekolah.
“Alhamdulillah, bantuan ini sangat bermakna kepada ibu bapa. RM150 itu besar nilainya dan sangat membantu, tambahan pula semua pelajar layak menerimanya,” ujarnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM800 juta bagi pelaksanaan Bantuan Awal Persekolahan yang akan disalurkan secara sekali beri dan mula diagihkan bermula 11 Januari.