‘Bawa peguam hebat sekali pun, sukar menang kes langgar lampu merah’

KUALA LUMPUR, 6 Januari — Kes kemalangan maut akibat melanggar lampu isyarat merah hampir mustahil dimenangi di mahkamah walaupun tertuduh diwakili peguam terbaik.

Peguam, Hasif Hasan, berkata ketidakpatuhan kepada lampu isyarat sebenarnya telah menempah sebelah kaki tertuduh ke penjara.

“Ada netizen secara sinikal menyatakan gunalah peguam yang hebat dan tertuduh akan dilepas daripada pertuduhan.

“Bila saya diaju komen begitu, apa jawapan saya?Bawa peguam dari langit sekalipun, sukar menang kes langgar lampu merah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Jelasnya, dalam kes yang mengejar, memecut atau meneruskan perjalanan ketika lampu merah lalu melanggar mangsa yang bergerak ketika isyarat hijau, elemen pemanduan berbahaya telah jelas wujud berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan dan kes rujukan terdahulu.

Menurutnya, dakwaan sesetengah netizen bahawa tertuduh boleh terlepas dengan menggunakan peguam ‘hebat’ adalah tidak berasas, lebih-lebih lagi dalam era teknologi apabila kebanyakan kejadian dirakam kamera papan pemuka (dashcam).

“Rakaman ini tidak akan menipu dan menjadi bukti bebas melainkan ada bukti ia telah diubah suai.

“Dalam keadaan lazim tidak ada sebab bukti akan diubah suai oleh pihak ketiga yang merakam tanpa ada kepentingan dan hubungan antara tertuduh dan mangsa,” katanya.

Hasif turut mengingatkan bahawa hukuman di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dipinda kepada lebih berat, iaitu penjara minimum lima tahun hingga maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000.

Sebelum pindaan, hukuman hanya melibatkan penjara minimum dua tahun hingga 10 tahun dan denda RM5,000 hingga RM20,000.

“Jika anda berduit sekalipun, duit tidak akan membantu melepaskan anda daripada pertuduhan. Denda mungkin boleh dibayar, tetapi penjara wajib dijalani,” tegasnya.

Beliau juga menafikan tanggapan bahawa kad Orang Kurang Upaya (OKU) boleh digunakan untuk mengelak hukuman, kecuali melibatkan isu ketidakupayaan mental yang disahkan pakar perubatan.

Dalam kejadian 1 tengah hari semalam penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Syakirah Hanan Mazli, 25, maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kenderaan dipercayai melanggar lampu isyarat merah di simpang empat Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.