Bomba pantau paras air di beberapa kampung di Penampang

KOTA KINABALU, 3 Januari – Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang menjalankan pemantauan paras air di beberapa kawasan berisiko banjir di daerah Penampang, susulan hujan yang melanda kawasan berkenaan.

Pemantauan bermula pukul 6.30 petang tadi melibatkan empat anggota dengan dua buah kenderaan utiliti.

Antara lokasi terlibat ialah Jalan Kibabaig, Kampung Penampang Proper, Kampung Kolopis dan Kampung Sugud.

Menurut pihak bomba, setakat ini paras air masih berada pada tahap selamat dan boleh dilalui kenderaan, serta tiada tindakan pemindahan dilaksanakan.

Namun, penduduk yang tinggal berhampiran sungai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan bersedia untuk berpindah ke tempat selamat sekiranya paras air meningkat ke tahap berbahaya.

Orang ramai juga diminta menghubungi pihak bomba dengan segera sekiranya memerlukan bantuan.

Share
Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.