PUTRAJAYA, 6 Januari – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh sebagai satu langkah perubahan besar dalam sistem pentadbiran negara.
Beliau berkata, perkara itu dicadangkan sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu mesyuarat khas kabinet dan dipersetujui sebulat suara semua ahli jemaah menteri.
“Semalam di dalam mesyuarat khas kabinet Perdana Menteri sendiri yang menyarankan bahawa tempoh perkhidmatan mana-mana Perdana Menteri hendaklah tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid persetujuan tersebut akan diterjemahkan melalui proses perundangan dengan Rang Undang-Undang berkaitan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada sidang kali ini.
Langkah itu dilihat penting bagi mengelakkan seseorang Perdana Menteri memegang jawatan terlalu lama sehingga menimbulkan kesan dalam pentadbiran.