Carilamat dua nelayan hilang diperluas meliputi 207 batu nautika

BATU PAHAT, 6 Januari – Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) bagi mengesan dua nelayan yang dilaporkan hilang di Perairan Batu Pahat, Johor, Jumaat lalu, diperluaskan meliputi 207 batu nautika persegi, sejak semalam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal dalam satu kenyataan memaklumkan, sehingga semalam, masih belum menemukan sebarang petanda dan operasi tertumpu di sekitar tempat terakhir mangsa dilaporkan jatuh ke laut.

“Operasi pencarian menggunakan bot Petir 51 dengan kerjasama Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan bot nelayan tempatan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu komuniti maritim diingatkan agar menangguhkan aktiviti ke laut sekiranya cuaca tidak baik dan sentiasa peka risiko laut serta membuat persediaan awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sebelum ini, Mohd Fadzli Misran, 41 tahun hilang bersama rakannya, Mohd Saiful Azli Ahmad, 45 tahun, selepas keluar rumah untuk memeriksa bubu udang serta memancing kira-kira 800 meter dari jeti Sungai Tongkang.

Kehilangan kedua-dua lelaki itu disedari penduduk apabila bot mereka ditemukan bersama joran dan bubu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.