ALOR SETAR, 7 Januari – Cuaca panas dan kering yang melanda kawasan Muda ketika ini, dijangka berterusan dan tiada hujan direkodkan sehingga semalam.
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sentiasa memantau rapi status cuaca semasa dan melaksanakan langkah mitigasi yang proaktif bagi memastikan kelestarian tanaman padi Musim 2/2025.
Jelasnya, sehingga kini, status kemajuan aktiviti tanaman padi melibatkan aktiviti penyediaan tanah mencapai 97.6 peratus: aktiviti penanaman (94.7 peratus), manakala peringkat berbunga berada pada 0.1 peratus.
Sementara itu, paras takungan Empangan Pedu berada pada tahap 58.51 peratus; Empangan Muda 78.88 peratus dan Empangan Ahning 65.98 peratus, dengan jumlah keseluruhan takungan adalah 61.96 peratus.
“Bagi memastikan bekalan air kekal mencukupi sepanjang tempoh cuaca panas dan kering ini, pihak MADA telah mengambil langkah mitigasi termasuk memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula serta pam-pam bergerak dan mudah alih.”
“Selain itu, pengagihan air secara penggiliran dilaksanakan bagi mengoptimumkan penggunaan sumber air empangan, manakala operasi pembenihan awan (OPA) dilakukan mengikut keperluan,” katanya.
MADA turut mengambil perhatian terhadap peningkatan risiko serangan perosak, khususnya tikus, yang lazim berlaku ketika cuaca panas dan kering.
Peladang dinasihatkan untuk mengamalkan kawalan perosak bersepadu (IPM), menguruskan penggunaan air secara berhemah dan sentiasa peka dengan perubahan cuaca.
Selain itu, mereka perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak MADA.