PUTRAJAYA, 5 Januari – Pelaksanaan Dasar Bumiputera di bawah Kerajaan MADANI disifatkan lebih menyeluruh dan berkesan berbanding kerajaan terdahulu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pelbagai bukti berasaskan fakta boleh dikemukakan, antaranya peningkatan nilai jaminan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) kepada RM30 bilion mulai 2026, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Untuk tahun 2026 juga, kerajaan memperuntukkan RM10 bilion khusus kepada PMKS Bumiputera supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Perdana Menteri menegaskan dakwaan bahawa dasar Bumiputera atau Melayu diketepikan adalah tidak berasas dan berpunca daripada salah faham atau kegagalan memahami pelaksanaan dasar semasa.
“Ada yang mendakwa dasar Bumiputera atau Melayu diketepikan. Saya tidak faham sama ada mereka tidak mendengar, tidak membaca atau tidak memahami, kerana jika dibandingkan dengan dasar sebelum ini, dasar Bumiputera di bawah Kerajaan MADANI jauh lebih baik dan boleh dibuktikan dengan fakta”, katanya demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menyuarakan keyakinan bahawa Malaysia mampu terus melonjak sebagai sebuah negara yang hebat di rantau ini, sambil menegaskan kejayaan tersebut tidak wajar dinafikan hanya kerana isu terpencil yang diselewengkan.
Menurut beliau, selagi negara berpaksikan keyakinan dan hala tuju yang jelas, kepelbagaian tidak seharusnya mengalihkan tumpuan daripada teras dan tonggak kekuatan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menekankan keperluan kepimpinan yang berani melaksanakan pembaharuan serta membanteras rasuah ketika masih memegang kuasa, bukan sekadar bersuara selepas kehilangan jawatan.