KUALA LUMPUR, 25 Disember – Pendidikan seksual merupakan satu bentuk pendidikan keselamatan yang penting dan boleh dilihat sebagai langkah utama dalam melindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian.
Sekali gus, menepis tanggapan ia bukanlah sesuatu yang wajar ditakuti untuk diterapkan kepada kanak-kanak.
Pakar Perlindungan Kanak-kanak UNICEF Malaysia, Selvi Supramaniam berkata, pendidikan tersebut menekankan pemahaman tentang sempadan peribadi, konsep persetujuan termasuk ketika berinteraksi di platform digital serta keupayaan untuk mengenal pasti situasi yang berisiko, sama ada dalam persekitaran talian mahupun di dunia nyata.
“Apabila kanak-kanak memahami hak mereka, dengan lebih yakin mereka akan berkata tidak, lebih berani untuk melapor, dan kurang terdedah kepada manipulasi. Semua ini bermula sejak usia yang sangat muda dan berkembang selari dengan peningkatan umur.
“Sebagai orang dewasa, kita perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dengan memberi kanak-kanak strategi dan pengetahuan bagi memastikan keselamatan mereka.
“Pendidikan seksual yang betul serta usaha menjaga harga diri kanak-kanak mampu memberi pengetahuan dan perlindungan yang diperlukan untuk mereka membesar dengan selamat. Janganlah kita menunggu sehingga sesuatu berlaku sebelum bertindak,” katanya ketika dihubungi RTM.
Selain itu, pendekatan perbualan yang baik juga amat penting dalam menangani isu keselamatan dalam talian.
Tambah beliau, jawapan yang tenang, jelas, dan berasaskan fakta daripada ibu bapa atau guru dapat membina kepercayaan kanak-kanak serta menggalakkan mereka bersuara apabila berdepan kebimbangan.
Pendekatan itu bukan sahaja melindungi kanak-kanak, malah membantu mereka membesar dengan sihat, yakin, dan mencapai potensi sepenuhnya.