KANGAR, 7 Januari – Empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis akan mengangkat sumpah jawatan esok di Bilik Hijau, Istana Arau.
Ia langkah segera yang diambil bagi memastikan kelangsungan pentadbiran negeri pasca krisis politik.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, pelantikan awal itu penting agar jentera kerajaan negeri dapat berfungsi dengan cekap, terutama dalam menyelaraskan portfolio masing-masing.
“Walaupun kita faham PAS mengeluarkan arahan agar tidak menyertai barisan Kabinet negeri, namun atas pandangan Presiden, kita tetap menghulurkan pelawaan,” katanya kepada media.
Abu Bakar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 28 Disember lalu, menggantikan Mohd Shukri Ramli yang melepaskan jawatan atas kehendak sendiri.
Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan kemudian mengisytiharkan kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji.
Tindakan itu diambil selepas tiga wakil rakyat PAS hilang keahlian serta-merta akibat menandatangani akuan bersumpah menarik sokongan terhadap Mohd Shukri, selaras dengan Fasal 76 dan Fasal 15(a)(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Sementara itu, dalam amanat kepada penjawat awam negeri di Dewan 2020, Kangar, Abu Bakar menekankan budaya kerja ‘Bangkit, Bingkas, Buat’ demi merancakkan pembangunan Perlis.
“Budaya kerja berdisiplin dan produktif termasuk menjaga waktu makan dan minum ketika bertugas bagi memelihara imej profesional perkhidmatan awam perlu diteruskan bagi menyokong usaha pembangunan negeri,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan mesra pelabur dan mesra perniagaan juga diberi perhatian, termasuk usaha meneliti semula prosedur sedia ada bagi mempercepatkan proses kelulusan pelaburan.