Enam rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Ketiau

PUTATAN, 6 Januari – Enam buah rumah musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Ketiau, Putatan awal pagi Selasa, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.48 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi pada pukul 5.52 pagi, kira-kira tiga kilometer dari balai.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 6.24 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.59 pagi selepas kawasan disahkan selamat.

“Kebakaran melibatkan enam buah rumah pelbagai saiz dan jenis binaan, kebanyakannya struktur tidak kekal, yang terbakar 100 peratus,” menurut kenyataan itu.

Pasukan bomba memadamkan kebakaran berkenaan menggunakan tiga aliran sepanjang 300 kaki dengan enam pancutan, melibatkan sumber air daripada jentera FRT, lori tangki air serta sumber air terbuka dari sungai berhampiran.

Dalam operasi tersebut, pasukan bomba berjaya menyelamatkan tujuh buah rumah berhampiran serta sebuah kereta daripada turut terbakar.

Operasi pemadaman melibatkan seramai 37 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu, dengan bantuan beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity.

Setakat ini, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Susulan insiden itu, penduduk terlibat kebakaran ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sri Keramat, Putatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.