Enam rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Ketiau, Putatan

PUTATAN, 6 Januari – Enam buah rumah musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Ketiau, Putatan awal pagi Selasa, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.48 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi pada pukul 5.52 pagi, kira-kira tiga kilometer dari balai.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 6.24 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.59 pagi selepas kawasan disahkan selamat.

Menurut Komander Operasi, kebakaran melibatkan enam buah rumah pelbagai saiz dan jenis binaan, kebanyakannya struktur tidak kekal, yang terbakar 100 peratus.

Pasukan bomba memadam kebakaran menggunakan tiga aliran sepanjang 300 kaki dengan enam pancutan, melibatkan sumber air daripada jentera FRT, water tanker serta sumber air terbuka dari sungai berhampiran.

Dalam operasi tersebut, pasukan bomba berjaya menyelamatkan tujuh buah rumah berhampiran serta sebuah kenderaan jenis Proton Saga daripada turut terbakar.

Operasi pemadaman melibatkan seramai 37 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu, dengan bantuan beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity.

Setakat ini, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Susulan insiden ini, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Keramat, Putatan diaktifkan bagi menempatkan mangsa kebakaran terlibat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.