JOHOR BAHRU, 6 Januari – Festival Layang-Layang Sedunia ke-28 Pasir Gudang, pada 4 hingga 8 Februari ini, merekodkan penyertaan 56 negara daripada enam benua, tertinggi dalam sejarah penganjuran sejak 1995.
Datuk Bandar Pasir Gudang, Datin Paduka Hazlina Jalil berkata, rekod tertinggi festival itu sebelum ini, adalah 49 negara, pada 2015.
Seramai 155 peserta akan terlibat dalam festival tersebut, termasuk penyertaan enam negara baharu, iaitu Greece, Uruguay, Hungary, Qatar dan Tunisia.
Antara tarikan festival, pertunjukan Layang-Layang Enam Benua, selain 12 acara yang dipertandingkan, antaranya Cabaran Layang – Layang Rokaku dan Pertandingan Layang-Layang LED.
“Kita juga ada pertandingan sports kite. Ia disertai bersama-sama dengan iramanya semasa pertandingan, ia adalah sesuatu yang menarik”, katanya
Seramai 650,000 pengunjung dijangka hadir ke festival itu, yang merupakan antara tentatif terawal dalam kalendar Tahun Melawat Johor 2026 serta Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau berkata demikian semasa Sidang Media di Pasir Gudang, yang turut dihadiri Presiden Majlis Pelayang Malaysia, Datuk A. Rahim Nin.