FOI perkukuh ketelusan pentadbiran, permudah akses maklumat awam

KUALA LUMPUR, 6 Januari – Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (FOI) dilihat sebagai usaha strategik memperkukuh ketelusan pentadbiran kerajaan serta memudahkan akses rakyat terhadap maklumat awam.

Pakar Geostrategi, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada organisasi media, malah membolehkan rakyat mendapat maklumat daripada agensi atau kementerian tertentu melalui melalui prosedur yang lebih sistematik.

“Ketiadaan Akta Kebebasan Mendapatkan Maklumat sering menyebabkan kerajaan dituduh menyembunyikan maklumat atas alasan keselamatan, kerana didakwa tiada proses yang jelas dalam menolak permohonan sama ada daripada media atau orang awam.

“Dengan adanya akta ini, proses yang ditetapkan akan memperincikan setiap peringkat, dari awal hingga akhir, termasuk alasan sesuatu permohonan ditolak. Semua terma dan kriteria berkaitan akan diperincikan serta dimaktubkan dalam akta tersebut.

“Akta ini juga mencerminkan kematangan demokrasi, seperti yang diamalkan oleh banyak negara maju, bagi memastikan hak rakyat dan organisasi tidak dinafikan, di samping terus menjaga aspek keselamatan,” katanya ketika dihubungi RTM.

Pelaksanaan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) menjadi lambang kematangan demokrasi sesebuah negara, di samping memastikan aspek keselamatan terus terpelihara.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat akan dibentang dan diluluskan di Parlimen tahun ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.