Gaji rendah, literasi kewangan lemah antara punca tekanan kos sara hidup

KUALA LUMPUR, 7 Januari -Isu kos sara hidup yang terus meningkat dijangka kekal sebagai cabaran utama rakyat pada tahun 2026, kerana dipengaruhi oleh beberapa faktor domestik dan global.

Menurut Pengarah Program MBA & DBA, Putra Business School, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, antara punca utama tekanan kos sara hidup adalah gaji yang masih rendah dan tidak meningkat secara signifikan.

Ia selain peluang pekerjaan bergaji kompetitif yang terhad, sekali gus menyukarkan rakyat untuk menampung perbelanjaan harian yang semakin meningkat.

“Walaupun ada individu mempunyai pendapatan yang mencukupi, tahap literasi kewangan yang masih rendah menyebabkan perbelanjaan tidak terkawal dan seterusnya meningkatkan tahap keberhutangan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Kota Media, di sini.

Beliau turut menjelaskan bahawa ketidaktentuan pasaran ekonomi global yang dijangka berterusan pada tahun ini berpotensi memberi kesan kepada ekonomi domestik, sekali gus menambah tekanan kepada isi rumah.

Sehubungan itu, Prof. Dr. Ahmed Razman menegaskan bahawa peranan individu amat penting, khususnya dalam memastikan pengurusan kewangan yang lebih tersusun, mengurangkan hutang, meningkatkan kemahiran diri serta berusaha mendapatkan pekerjaan dengan pendapatan lebih baik.

Pada masa sama beliau berkata, kerajaan sektor swasta dan agensi berkaitan perlu terus menyediakan ekosistem sokongan yang mampu membantu isi rumah memperbaiki kualiti hidup melalui peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan pendidikan kewangan.

Tekanan kos sara hidup yang berpanjangan boleh memberi kesan serius kepada kesejahteraan mental rakyat, seterusnya menjejaskan produktiviti dan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

“Apabila rakyat terlalu dibebani dengan soal mencari pendapatan membayar hutang dan menapung kos barangan, ia bukan sekadar isu ekonomi tetapi turut memberi implikasi sosial yang lebih luas,” kata beliau.

Bagaimanapun, dengan inisiatif kerajaan memberi bantuan dan subsidi di bawah Belanjawan 2026 adalah langkah penting dalam jangka pendek dan sederhana bagi melindungi golongan rentan daripada tekanan kos sara hidup.

Namun, beliau menegaskan bantuan tersebut tidak boleh menjadi penyelesaian jangka panjang, sebaliknya perlu disokong dengan pelaksanaan projek pembangunan ekonomi dan peluang peningkatan pendapatan agar rakyat mampu berdikari dan tidak terus bergantung kepada bantuan kerajaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.