
KUALA LUMPUR, 17 Februari – Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dilanjutkan sehingga sempadan negara dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikemas kini, berkuat kuasa semalam, 16 Februari.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 pada 8 Februari lepas.
Kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan, antara SOP yang dikemas kini ialah pelancong yang telah menerima dos penggalak dibenarkan keluar dari Pulau Langkawi pada hari kelima jika ujian RT-PCR pada hari keempat negatif.

“Selain itu, kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah boleh melancong bersama-sama ibu bapa masing-masing yang telah divaksin tanpa perlu menunjukkan bukti vaksinasi’.
“Penerbangan masuk melalui klia2 juga dibenarkan bermula 22 Februari ini.
“SOP berkenaan mula berkuat kuasa semalam dan akan menjadi penanda aras SOP pembukaan sempadan,” menurut kenyataan itu.
SOP yang telah dikemas kini itu, diharap disambut baik pelancong antarabangsa yang berhasrat ke Malaysia melalui LITB.