MUAR, 28 Disember – Satu gegaran gempa bumi lemah dengan magnitud 3.4, direkodkan di Bukit Kepong, di sini pada pukul 8.55 pagi tadi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran Facebook memaklumkan, gempa berkenaan direkodkan pada kedalaman sepuluh kilometer.
“Untuk makluman, setakat ini tiada laporan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda, dan tiada sebarang ancaman tsunami kepada negeri Johor. Keadaan adalah terkawal.
“Kerajaan Negeri Johor sentiasa mengambil serius soal keselamatan rakyat. Pemantauan rapi sedang dijalankan bersama agensi berkaitan, dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa agar rakyat sentiasa mendapat maklumat yang sahih dan tepat,” menurut hantaran itu.
Datuk Onn Hafiz turut memohon masyarakat supaya kekal tenang dan mematuhi arahan pihak berkuasa, selain menjauhi struktur tidak kukuh.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar negeri Johor sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT, dijauhkan daripada sebarang musibah dan bencana,” tambah hantaran itu.