Harga durian murah libatkan gred rendah

GUAR CHEMPEDAK, 3 Januari – Kejatuhan harga buah durian di pasaran sehingga serendah RM5 sekilogram kebelakangan ini dilaporkan hanya melibatkan durian jenis berkualiti rendah atau ‘chai’, manakala durian premium dan bergred tinggi masih stabil dan mencatat peningkatan harga.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA), Aminuddin Zulkipli berkata, lambakan durian yang berlaku didakwa berpunca daripada pengeluaran di Negeri Sembilan dan Pahang, namun ia tidak menjejaskan permintaan durian premium.

“Secara peribadi, saya tidak melihat durian bergred A atau B+ terjejas. Permintaan masih tinggi. Yang terkesan hanyalah durian gred C atau ‘chai’, jadi harga sedikit menurun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Jualan Agro Madani di Pasar Tani Kekal Guar Chempedak di sini.

Bagaimanapun FAMA menasihatkan pekebun supaya menjual hasil durian mereka terus kepada agensi tersebut sebagai sebahagian daripada usaha menstabilkan pasaran. Durian lebihan yang dibeli akan diproses menjadi produk bernilai tambah seperti pes durian dan tempoyak.

Harga durian varieti premium seperti Musang King, Black Thorn, IOI, D24 dan Udang Merah juga dilaporkan merosot sejak kebelakangan ini, dengan harga pasaran ada yang turun kepada RM10 hingga RM15 sekilogram, namun masih mengekalkan permintaan tinggi bagi buah berkualiti.

Berkenaan pencapaian program Jualan Agro MADANI tahun lalu, yang mencatat 5,770 program di seluruh negara, melepasi sasaran awal 5,000 program. Jumlah jualan bawah program itu mencapai RM162.45 juta pada 2024, dengan penjimatan pengguna sebanyak RM43.64 juta.

Bagi tahun 2025, setakat 21 Disember, jumlah jualan dicatatkan ialah RM82.34 juta, dengan penjimatan pengguna berjumlah RM24.68 juta, menunjukkan peningkatan berterusan dalam usaha memacu pemasaran produk pertanian tempatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.