TUMPAT, 17 Disember – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengakui berlaku kenaikan harga ikan sehingga 30 peratus di pasaran ketika ini, namun ia tidak berlaku secara menyeluruh dan hanya melibatkan lokasi tertentu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, peningkatan harga berkenaan didorong oleh permintaan yang tinggi sempena musim tengkujuh serta pengurangan bekalan hasil tangkapan nelayan.
“Sedikit kenaikan itu adalah biasa kerana musim tengkujuh menyebabkan permintaan tinggi dan bekalan berkurangan. Namun sekiranya wujud unsur manipulasi atau kartel, itu adalah perkara berbeza yang perlu dibanteras,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan sesi temu mesra Program Jualan Rahmah (PJR) Monsun di Pengkalan Kubor, pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau bukti berkaitan manipulasi bekalan oleh pemborong atau peniaga digesa membuat laporan kepada pihak berkuasa termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Setakat ini, katanya, KPDN belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung perkara itu, sebaliknya dakwaan hanya dilaporkan melalui media.
Sebelum ini, media melaporkan kenaikan harga ikan bukan sahaja berpunca daripada musim tengkujuh dan kekurangan hasil tangkapan, malah turut didakwa melibatkan manipulasi pasaran oleh sebahagian pemborong.
Sementara itu, lebih 23,000 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) telah dilaksanakan di seluruh negara setakat November lalu, memberi manfaat kepada lebih 24 juta pengguna.
Daripada jumlah itu, Selangor merekodkan bilangan penganjuran tertinggi dengan hampir 3,400 program, diikuti Sarawak dan Sabah.
Menurut Datuk Dr Fuziah, pelaksanaan PJRM secara bergerak mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 14,437 program, manakala selebihnya dilaksanakan di dalam dan luar premis melibatkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebagai langkah penambahbaikan, KPDN turut memperkenalkan Program Jualan Rahmah (PJR) Monsun sempena Monsun Timur Laut (MTL).
Kelantan menjadi negeri pertama melaksanakan inisiatif itu dengan peruntukan sebanyak RM300,000, dan program berkenaan akan diteruskan sehingga Mac tahun depan.
“Program ini akan dilaksanakan sebanyak enam kali. Pada masa sama, Program Jualan Rahmah Back to School bergerak turut diadakan dan akan diteruskan di beberapa lokasi sehingga 10 Januari,” katanya.
Datuk Dr Fuziah Salleh mengadakan sesi temu mesra Program Jualan Rahmah (PJR) Monsun di Pengkalan Kubor