KUALA LUMPUR, 30 Disember -Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tidak lagi mewajibkan pemakaian tali leher di sekolah bermula tahun hadapan disambut baik oleh ibu bapa.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Taman Midah, Noor Faizul Arni Basyuni berkata, langkah itu lebih praktikal serta selari dengan situasi semasa, khususnya dari segi keselesaan murid dan keadaan cuaca negara.
Menurut beliau, keputusan tersebut juga membantu menjimatkan kos perbelanjaan ibu bapa selain mengurangkan risiko keselamatan dalam kalangan murid.
“Langkah ini meningkatkan keselesaan murid selaras dengan iklim negara, di samping menampilkan imej kemas dan berdisiplin tanpa bergantung sepenuhnya kepada aksesori pakaian,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.
Beliau menegaskan, disiplin sebenar tidak seharusnya dinilai melalui pakaian semata-mata, sebaliknya dibentuk menerusi didikan berterusan serta pemantauan oleh pihak sekolah dan ibu bapa.
Tambahnya, keputusan itu mencerminkan pendekatan seimbang yang mengambil kira kebajikan murid tanpa mengabaikan pembentukan sahsiah dan jati diri pelajar.
Terdahulu, KPM memutuskan untuk tidak lagi mewajibkan pemakaian tali leher di sekolah hasil Mesyuarat Profesional KPM Khas 2025 yang berlangsung pada 8 Disember lalu.
Kementerian turut menegaskan bahawa murid tidak boleh dipaksa atau dikenakan sebarang tekanan berhubung pemakaian tali leher di sekolah.